28/08/08

KUASA

GURINDAM MENGIDAM KUASA

Kalau benar mengidam kuasa
Hendaklah wajar tingkah dan cara

Kalau kuasa hendak digenggam
Kebaikan orang jangan dihentam

Kalau kuasa hati berkenan
Jasa orang dinafi jangan

Kalau kuasa hendak diraih
Amalkan budaya berterima kasih

Impian kuasa terlekat di hati
Hapuskan segala hasad dan dengki

Kalau kuasa pilihan yang syumul
Ikutlah cara yang paling betul

Kalau kuasa mahu diburu
Hindari prasangka jauhi cemburu

Kalau kuasa impian utama
Belajarlah sentiasa hidup bersama

Kalau kuasa ingin dirampas
Jangan berasa hendak menindas

Kalau kuasa mahu diperjuang
baiklah sentiasa menolong orang

Kalau kuasa mahukan disungguh
buangkan sombong lemparkan ego

Kehebatan kuasa ingin dilakar
aib orang jangan diselongkar

Keinginan berkuasa sekiranya hadir
jangan suka mempersenda menyindir

Kalau kuasa menjadi keutamaan
tingkatkan takwa kukuhkan iman

Kalau kuasa diimpi dicita
jauhi matlamat menghalalkan cara

MOHD KASIM MAHMUD

Tiada ulasan: