25/04/09

ANEKDOT 81

BAHASA OH, BAHASAKU...

Bahasa Melayu sering diwara-warakan sebagai lingua-franca di Nusantara. Seluruh kepulauan Melayu akar umbinya menggunakan bahasa Melayu. Akan tetapi sejauh manakah benarnya bahasa Melayu ini kelak menjadi antara bahasa dunia yang mempunyai jati diri. SN Abdullah Hussain pernah menulis mengenai nasib bahasa Melayu. Anekdot beliau ini wajar direnung sebagai membuka minda untuk memartabatkan bahasa kita.

Memang sudah suratan nasib bahasa Melayu merupakan bahasa yang paling peramah sifatnya. Apa sahaja perkataan asing sesuai atau tidak diterimanya dengan senang hati dan perkataan sendiri yang semakna dengannya ditolak ke tepi. Bahasa Melayupun seperti orang Melayu juga, mudah mesra dan mudah meniru, mudah menyesuaikan dirinya dengan keadaan. Waktu seorang guru bahasa Arab mengajar Tun Mai Ulat Bulu, terjadilah pertengkaran kira-kira begini.

(Rujuk teks Sejarah Melayu versi W G Shellabear)

“ Anta ni syakap Arab pun tak boleh,” kata tuan guru itu.
“ Ana boleh cakap tapi ana malas. Ana boleh sebut lebih baik daripada ustaz.”

Lalu guru Arab itupun memilih beberapa perkataan Arab yang sukar dan menyuruh Tun Mai Ulat Bulu menyebutnya. Tun Mai Ulat Bulu dengan mudah menyebut perkataan-perkataan itu.

Kemudian untuk tidak mengaku kalah, Tun Mai Ulat Bulu mencabar guru Arab itu supaya menyebut perkataan-perkataan Melayu pula.

“ Sekarang cuba ustaz sebut perkataan Melayu pula.”
“Apa dia?”
“Kucing!”
“Kusying!”
“Salah. Kunyit!”
“ Kuzit!”
“Salah. Nyiru!”
“Niru.”

Khabarnya kerana kejadian itu, guru bahasa Arab itupun tidak mahu lagi mengajar Tun Mai Ulat Bulu. Tun Mai Ulat bulu boleh menyebut dengan baik, cuma dia malas sedikit.Menurut ceritanya sejak itu semua orang Arab tidak mahu lagi mengajar orang Melayu membaca al Quran.

Di sini timbul persoalan kepada cerdik pandai sejarah tentang siapa sebenarnya yang mengajar agama Islam kepada orang Melayu di Tanah Melayu ini.



Nota hujung : Dimasukkan semula supaya tak lupa.
Sumber : Dipetik daripada buku Ketrampilan Menulis



Tiada ulasan: