4/09/08

ANEKDOT 6 - CERITA JADUAL


BELUM CUKUP MAKLUMAT

Seperti kelazimannya, apabila dapat jadual waktu pada awal tahun, ramailah guru yang tidak puas hati dengan jadual waktu.
Pengetua kami Cikgu Ain dengan penuh diplomasi memberitahu “Saya tahu ramai yang tidak puas hati, maklumlah bukan mudah hendak memuaskan hati semua orang walaupun kami cuba sedaya upaya berlaku adil. Jika ada yang masih tidak berpuas hati, boleh jumpa Cikgu Wan, Guru Penolong Kanan kita.”
Sebagai seorang guru yang baru ditukarkan ke SMKXX, saya mendapati dengan dua puluh lapan waktu yang saya dapat dikira berat dibandingkan dengan rakan-rakan yang dapat dua puluh enam atau dua puluh tujuh waktu mengajar. Saya pergi jumpa Cikgu Wan dan menyuarakan rasa tidak puas hati saya.
“Memang susah hendak dapat sama banyak, kerana bukan dapat diberi waktu.”
“Tetapi mengapa orang lain kurang?” Tidak adillah.”
“Beginilah Cikgu Gee, cikgu tunggu seminggu dulu, kumpulkan maklumat secukupnya, berapa orang pelajar setiap kelas, berapa buku yang perlu diperiksa, di mana kelas, di tingkat berapa, berapa langkah untuk sampai ke kelas. Semak sekali, kelas cikgu tu sebelum rehat atau selepas rehat kerana jangka masa waktu selepas rehat tiga puluh minit dibandingkan dengan sebelum rehat empat puluh minit.”

“Apabila sudah cukup semua maklumat datang jumpa saya lagi.”

“Satu lagi Cikgu Gee, jangan lupa jumpa pembantu tadbir; semak gaji. Ada orang gaji besar, mengajar sedikit. Yang saya pasti, pengetua, gaji paling banyak mengajar paling sedikit.”

“Lagi” saya bersungut dalam hati.

Selepas seminggu saya tidak pun berjumpa Cikgu Wan. Tidak mampu saya berbuat demikian, seperti tidak mampunya Cikgu Wan melayan karenah cikgu seperti saya.

(Dipetik daripada “Cerita-cerita Motivasi Untuk Guru” – Hamedah Wok Awang, PTS Publication, Bentong 2004)