4/09/08

ANEKDOT 7 - PANDAI, CIKGU!


MESIN CUCI

Berdasarkan sifat saya yang tegas saya kerap diberikan mengajar kelas belakang-belakang.
Walaupun saya sudah berusaha demi kecemerlangan, keputusan yang dicapai masih tetap sederhana. Hanya seorang berdua yang mampu mendapat ‘A’ dalam peperiksaan mereka.
Sebelum keputusan disebutkan dalam mesyuarat post mortem, saya berjumpa dengan pengetua secara perseorangan bagi menerangkan usaha saya dan kehampaan saya dengan keputusan yang dicapai.

“Saya minta maaf cikgu, saya tidak dapat menghasilkan keputusan yang diharap-harapkan. Saya sudah cuba yang terbaik, tapi…”

“Cikgu Ong, secara jujur saya bertanya. Berdasarkan target individu pelajar adakah ia mencapai sasaran?”

“Hampir tepat cikgu. Untuk ‘A’ target 2, dapat 2: untuk ‘B’ target 23, dapat 21; untuk ‘C’ target 48, dapat 50; selebihnya ‘D’.”

“Cikgu Ong puas hati?”

“Puas.”

“Habis tu apa lagi?”

Saya bimbang cikgu tak puas hati...”

“Cikgu Ong, saya hampir mencecah usia emas, sudah banyak rambut uban, kata orang tanda kebijaksanaan. Saya tidak mudah melenting dan melatah. Bagi saya proses mendidik seperti proses mencuci pakaian. Kalau daripada jenis sutera: celup, bilas dan sidai. Jenis kain rayon, kena basuh dengan tangan perlahan-lahan. Kalau kain kapas pula, kena berus dan kalau kain belacu kenalah sental kuat-kuat. Janji bersih dan yang dibersihkan belacu tetap belacu, tidak mungkin jadi sutera tetapi belacu yang bersih!”

Dipetik daripada “Cerita-cerita Motivasi Untuk Guru” – Hamedah Wok Awang, PTS Publication, Bentong 2004)