8/09/08

ANEKDOT 8 - OTAK OH OTAK!

Inilah otak manusia...
OTAK ORANG KITA
Seorang hartawan dari negara matahari terbit telah menghidapi sakit barah otak. Beliau dalam keadaan koma sejak beberapa bulan yang lalu. Menurut pakar, barah otak itu tidak boleh disembuhkan. Masih belum ada ubat yang dihasilkan bagi tujuan tersebut. Seluruh anggota keluarga hartawan tersebut berasa risau kerana tanpa hartawan tersebut mereka tidak berupaya menjalankan operasi perniagaan multinasional miliknya. Beliau menyara lebih daripada sepuluh ribu orang pekerja tidak termasuk rangkaian perniagaan di luar negara.

Salah seorang daripada doktor pakar saraf otak mencadangkan supaya otak hartawan tersebut diganti. Di hospital pakar itu terdapat bank otak yang dapat memenuhi keperluan tersebut. Setelah persetujuan dicapai, keluarga hartawan itu bersepakat untuk memilih otak yang terbaik untuk hartawan tersebut.
Pada hari yang telah ditetapkan mereka ke bank otak bagi tujuan memilih otak terbaik dan masih segar. Doktor pakar otak telah menyediakan tiga ketul otak daripada bangsa yang terpilih . Setiap otak ditandai dengan HB1, HB2, dan HB3.
Doktor pakar mula memperkenalkan otak-otak tersebut satu persatu.


“Otak ini kepunyaan seorang professor fizik yang sangat terkenal. Sebelum kematiannya, beliau seorang ahli perniagaan yang amat berjaya. Sebagai bangsa Yahudi yang amat dikenali dengan kepintaran mereka, beliau salah seorang daripada mereka”.

“Kami fikir otak ini tidak berapa sesuai dengan pengerusi kami. Lihat saja urat-urat pada otak ini. Semuanya telah tegang dan keras. Ia terlalu banyak digunakan. Mungkin tiada ruang lagi untuk diisi”.

“Kalau begitu, cuba tuan lihat pula otak yang bertanda HB2 ini pula. Ia kelihatan lebih bersih dan segar berbanding otak HB1. Mungkin otak ini sesuai untuk hartawan ini, tuan.”

“Mungkin juga! Saiznya agak besar berbanding dengan otak yang lain. Milik siapakah otak ini, tuan doktor?”

“Ia milik seorang usahawan dan dermawan berbangsa Amerika. Beliau juga mempunyai rangkaian perniagaan antarabangsa yang berpusat di Dallas, Texas. Beliau meninggal dunia dua minggu yang lepas. Otak ini didermakan kepada pusat perubatan ini.”

“Saya fikir tuan saya tidak akan bersetuju. Lihat sajalah apa yang telah dilakukan oleh rakyat Amerika di seluruh dunia.”

“Ahh, bagaimana pula otak yang bertanda HB3 ini?. Saya rasa otak inilah yang paling sesuai dengan tuan saya. Urat-uratnya kelihatan bersih dan masih lembut. Ia juga nampak sangat segar. Tentu otak ini belum digunakan sepenuhnya oleh pemiliknya dahulu. Saya pasti tuan saya dapat menggunakan otak ini dengan sebaiknya. Apa pendapat tuan doktor, bersetujukah dengan saya?”

“Ya, memang benar tuan, tetapi otak ini telah berusia 46 tahun.”

“Tidak mengapa. Milik siapakah otak ini tuan doktor?”

“Oh, ia milik seorang lelaki berbangsa Melayu.”


-istimewa buat orang yang selalu kata "aku malas nak fikir dah!'