3/06/09

ANEKDOT 96...

UNIKNYA KAD KAHWIN


Musim cuti sekolah datang lagi. Gendang silat mula berbunyi. Langkah silat mula dibuka. Bunyi kompang turut bertingkah.
Kad jemputan telah diedar. Kalau anda menerima banyak kad, itu tandanya, usia anda semakin bertambah. .. (kata orang yang sudah biasa dengan situasi ini). Pelbagai bentuk, corak dan stail kad yang ada pada hari ini. Pernahkah anda membaca – benar-benar membaca – tulisan yang tertera pada kad tersebut.
Paling menarik pada kad ialah pantun dan doa yang disisipkan bersama kata-kata undangan yang amat halus bahasanya. Hayatilah sebahagian daripada pantun dan doa yang biasanya tertulis pada kad.
Indahnya bahasaku!!!
PANTUN

1.
Makan nasi di atas dulang
Gulainya lazat ikan tenggiri;
Makan sirih sekapur seorang,
Sampai hajat hidangan kami.

2.
Sekapur sireh seulas pinang,
Semekar senyuman kami hulurkan;
Menjemput tuan datang bertandang,
Menerima menantu kami raikan.

3.
Sayup tinggi memecah awan,
Tegap berdiri pohon jati;
Hajat di hati membawa undangan,
Ke majlis meraikan ikatan suci.

4.
Pengantin tiba kompang dipalu,
Rampai ditabur mawar direnjis;
Kehadiran semua amat dialu,
Mohon diberkati menyeri majlis.

5.
Duyung kemudi di hening pagi,
Membawa dagangan beiring teman;
Sekalung budi dijunjung tinggi,
Terpahat kenangan sepanjang zaman.

6.
Undangan kami seikhlas hati,
Harap sudi datang merai,
Semoga Allah sentiasa memberkati;
Terima kasih dan wassalam daripada kami.
Nota hujung: Tunggu sambungannya...doa pulak.
Sumber: Kad jemutan kahwin

2 ulasan:

kirana berkata...

Adab timur bersopan santun
Biar ditanam dalam hati
Kirana ni memang suka berpantun
Tapi sape yg nak kawen ni?

ragbar berkata...

kirana...

dh tentulah bukan saya yg nak kawin...

siapa nak, siap-siaplah.

saya dtng bertandang je...