31/08/09

ANEKDOT 127...GEMILANG MERDEKA 52


RUMAH MERDEKA

Selamat Datang 31 Ogos
untuk kesekian kalinya kita meneriakkan
"MERDEKA"
dan mengibarkan bendera indah di puncak
tiang negara

Selamat datang 31 ogos
perarakan berlalu menyusur perjalanan waktu
dan kita pun bertanya
bagaimana memelihara rumah merdeka ini sebijaknya

Merdeka bukan bererti bebas tanpa batas
Merdeka tidak bererti rumah tak perlu berkunci
Merdeka bukan membiar kebun jiwa tak berpagar
Merdeka adalah milik kita yang termahal
milik yang ditebus dengan nyawa dan airmata
peliharalah ia sebijaknya
bersihkan ia dari kemungkaran
kerana kemungkaran mengundang virus
kekotoran, racun pencemaran
yang akan membiak dan merebak menjadi wabak
menggugat saraf dan jasad bangsa
perangi sehabisnya
sebelum negara menjadi pesakit yang sengsara.

Anak-anak merdeka
mari kita kutip makna dari sejarah
keruntuhan akhlak yang membawa padah
kota dan empayar dunia yang telah musnah
akibat kemungkaran rakyat dan pemimpin khianat
mengambil teladan dari peradaban yang tidak
dapat bertahan
runtuh dimamah zaman.

Anak-anak tercinta
jangan kau sangka di era modenisasi, kota siber
dan canggih IT
kita tidak perlu berbudaya dan berbudi
akhlak mulia adalah warna peribadi
tanpa peribadi kau hanyut tak berpaut
tenggelam di lautan tak bertepi
karam di dataran tanpa sempadan
sesat dan terjerat di rimbunan maklumat
buta meraba di simpang siur lebuh raya kota siber

Anak-anak tercinta
rimbun pokok kerana baja
rimbun tamadun ditunjangi akhlak mulia
komunikasi berkesan oleh tutur yang sopan
terpaut rasa oleh santun bahasa
pedoman bangsa adalah rukun susila
taman peradaban yang kita bina dengan
semurni wawasan
akan hancur tanpa petugas yang amanah
akan hancur tanpa pewaris yang jujur.

Mari kita lengkapi rumah kita yang bahagia
lindungi bangsa dari penjajah budaya
pelihara bangsa dari penakluk minda
dengan akhlak mulia kita bina masyarakat jaya.

ZURINAH HASSAN

Nota hujung: Selamat Hari Ulang Tahun Merdeka ke-52
Sumber: Koleksi sajak Zurinah Hassan

1 ulasan:

ckLah @xiiinam berkata...

Salam ulang tahun kemerdekaan...
dirgahayu watanku...

untuk ke 52 kalinya.