Setelah selesai mengerjakan ibadah haji, saya masih ada 21 hari tempoh untuk terus berada di Tanah Suci. Kebiasaannya, jemaah haji berada selama 44 hari di Tanah Suci tetapi saya mendapat tambahan 11 hari lagi menjadikannya 55 hari. Masa terluang yang banyak dimanfaatkan dengan sebaik-baiknya - di sini tidak ada kerja lain selain beribadah.
Walaupun begitu saya dikejutkan juga dengan beberapa perlakuan pelik (dari pandangan saya), malahan hampir kepada perlakuan khurafat yang dilihat di kawasan masjid.
1. DINDING KAABAH/PINTU KAABAH
Di sini ramai jemaah (bukan dari Malaysia) yang berdoa dan bertaubat sambil melekapkan badan mereka ke dinding Kaabah. Mereka meratap dan menangis memohon keampunan daripada Ilahi. Ada sebahagian daripada mereka yang menyapu kopiah dan serban ke dinding kemudian menciumnya.Sering kali juga perlakuan mereka ini diperhati oleh oleh pihak berkuasa yang bertugas - hinggakan kopiah dan serban itu dirampas.
2. TIANG BURAQ
Tiang ini menarik perhatian saya apabila sering kali melihat jemaah dari Pakistan memeluk dan menciumnya sambil membaca buku doa. Setelah beberapa kali melihat perlakuan mereka saya mula bertanya sebabnya.Jawapannya - inilah tiang buraq, tempat Nabi Muhammad s.a.w. menambat buraq setelah pulang dari Israq dan mikraj.
Soalnya...adakah buraq itu sejenis haiwan/burung dan perlu ditambat?
3. TIANG JIN
Tiga tiang berwarna hitam sederet ini dikatakan tiang asal Masjidil Haram. Di tiang inilah jin diikat ketika Rasullullah s.a.w. berdebat dengan jin tentang ketauhidan terhadap Allah. Akhirnya jin mengakui kekuasaan Allah lalu sujud menyembah Allah.
Salah satu tiang jin dari dekat.(seorang sahabat berbisik kepada saya di sinilah tempat orang mengambil toyol)
Masya-Allah - mengapa? mengapa? mengapa?
4. KERUSI RODA
Timbunan kerusi roda ini sengaja dilonggokkan oleh petugas Masjidil Haram di sini. Kerusi roda ini milik para jemaah yang kurang upaya. Kebanyakannya diambil ketika mereka sedang kusyuk mengerjakan ibadah. Tidak tahu alasannya kerusi ini dirampas sedangkan pihak berkuasa tiada halangan jika para jemaah mahu mengambilnya untuk digunakan.Nota hujung: Semua tiang ini berada di dalam Masjidil Haram.
Sumber: Perbualan dengan para jemaah, terutama dari Pakistan ( harap maaf sekiranya kenyataan di atas tidak benar)


























