31/08/08

BACAAN UNTUK PEMIMPIN




Sekiranya anda berminat menjadi pemimpin atau ingin tahu peribadi pemimpin, buku ini sesuai untuk bacaan. Karya Pak Tenas ditulis dalam bentuk gurindam sesuai dibaca sebagai pedoman.
"Animal Farm" sebuah novel satira membicarakan gelagat pemimpin politik yang rakus dengan kuasa. Bak kata... 'obsolute power corrupts obsuletely ' novel ini memaparkan muslihat pemimpin dan kepimpinan mereka. Biarpun diterbitkan pada tahun 1945, karya ini amat releven dengan politik tanah air masa kini.
Selamat mencanai minda anda!

KEMERDEKAAN KE 51

DI PERSADA WARISAN

bumi yang kita injak ini
di bawahnya mengalir sungai emas
menyusuri celahan akar-akar perjuangan
dari hanyir darah moyangku
bumi yang kita injak ini
di atasnya melatar pohon tembaga
membina dagang teknologi
dari suci roh moyangku.

kita semakin lupa
derita nenek moyang
membebas persada warisan ini dari jerkah penjajah

empayar yang kita bina
menyimpan citra berdarah.

pernahkah kita merenung;
darah siapakah mengalir di bumi yang kita injak ini
dada siapakah yang membentengi peluru-peluru di baris hadapan

tulang siapakah masih tertegak kala mereka telah bongkar
demi denyut nadi mercu warisan ini.

mari, marilah kita imbas dengan mata fikir dan derap hati
lalu belajar menghargai
erti derita, erti perjuangan, erti kebebasan

siapa kata kebebasan ini dari bijak bicara di meja perundingan
tanpa darah dan air mata di bumi yang kita injak ini.
moyangku tidak meminta monumen tertancap namanya
moyangku tidak meminta bintang-bintang menghiasi dadanya
moyangku tidak meminta kalungan bunga di pusaranya
moyangku tidak meminta madah indah menelusuri atmanya

Hargailah kebebasan ini
persada warisan harganya darah nilainya maruah
pacakkan setiamu di sini : di persada warisan
jangan kita biarkan warga generasi lupa
moyang yang menukil gemilang warisan merdeka
biar roh pahlawan lena di muara sungai emas ini
lalu kita teguk lazat kebebasan sepuasnya.

Selamat menyambut HARI KEMERDEKAAN Malaysiaku


ts lee
Universiti Malaya

29/08/08

ANEKDOT 5


PRASANGKA

Suka Berprasangka
Ada prasangka baik…
Ada prasangka buruk…
Orang beribadah disangka riak
Orang yang rileks disangka malas
Orang yang pakai baju baru disangka menunjuk
Orang yang pakai baju buruk disangka zuhud (hina)
Orang makan banyak disangka pelahap
Orang makan sikit disangka diet
Orang baik disangka buruk
Orang buruk disangka baik
Orang senyum disangka mengejek
Orang masam disangka merajuk
Orang bermuzakarah disangka mengumpat
Orang diam disangka menyendiri
Orang menawan disangka pakai susuk
Orang nampak ceria disangka membela

Mana tahu yang diam itu kerana
berzikir kepada Allah
Mana tahu yang senyum itu kerana
bersedekah kepada fakir
Mana tahu yang masam itu kerana
mengenangkan dosa
Mana tahu yang menawan itu kerana
bersih hati dan mindanya
Mana tahu yang ceria itu kerana
cergas dan cerdasnya

(Jauhi sikap suka berprasangka kerana
ia bakal memusnahkan ukhwah
seperti musnahnya kayu dimakan api.)

28/08/08

ANEKDOT 4



KELAZATAN YANG HINA

Kelazatan duniawi ada tujuh macam iaitu makanan, minuman, pakaian, rumah, bau yang dicium, suara yang didengar dan bentuk yang dilihat, dan wanita yang dinikahi.

Diriwayatkan Saidina Ali Abu Talib ketika memberitahu Amar Yassir ada menyebutkan bahawa kebanyakan kelazatan asalnya hina.

Adapun makanan yang paling lazat ialah madu, padahal madu itu buatan lebah; minuman yang paling utama ialah air sedangkan air mudah dicari; pakaian yang paling baik ialah sutera padahal sutera adalah tenunan ulat; bau yang paling harum ialah kasturi padahal kasturi daripada darah kijang; suara yang didengar ialah angin dari angkasa; manakala benda yang dilihat hanyalah khayalan yang merosakkan.

Wanita yang dinikahi memang cantik apabila berhias, tetapi yang paling dikehendaki ialah tempat air kencing, suatu tempat buruk.

Lazimnya kenikmatan dunia ini setelah dirasa akan cepat membosankan dan tidak kekal. Maka kelazatan yang kekal ialah perasaan penuh gembira dengan jiwa yang tenang dan sempurna.

Wallah hu Alam !!!

KUASA

GURINDAM MENGIDAM KUASA

Kalau benar mengidam kuasa
Hendaklah wajar tingkah dan cara

Kalau kuasa hendak digenggam
Kebaikan orang jangan dihentam

Kalau kuasa hati berkenan
Jasa orang dinafi jangan

Kalau kuasa hendak diraih
Amalkan budaya berterima kasih

Impian kuasa terlekat di hati
Hapuskan segala hasad dan dengki

Kalau kuasa pilihan yang syumul
Ikutlah cara yang paling betul

Kalau kuasa mahu diburu
Hindari prasangka jauhi cemburu

Kalau kuasa impian utama
Belajarlah sentiasa hidup bersama

Kalau kuasa ingin dirampas
Jangan berasa hendak menindas

Kalau kuasa mahu diperjuang
baiklah sentiasa menolong orang

Kalau kuasa mahukan disungguh
buangkan sombong lemparkan ego

Kehebatan kuasa ingin dilakar
aib orang jangan diselongkar

Keinginan berkuasa sekiranya hadir
jangan suka mempersenda menyindir

Kalau kuasa menjadi keutamaan
tingkatkan takwa kukuhkan iman

Kalau kuasa diimpi dicita
jauhi matlamat menghalalkan cara

MOHD KASIM MAHMUD

17/08/08

ANEKDOT 3 - FOTO BERCERITA

akhirnya...
sewarna sejiwa
impian terlaksana

bagai pinang dibelah dua

ANEKDOT 2 - PERKAHWINAN- sempena musim kahwin ni.

musim perkahwinan

musim perkahwinan
menyingkap tabir rahsia
isteri yang kita nikahi
tidaklah semulia Khadijah
tidaklah setaqwa Aisyah
pun tidak setabah Fatimah
justeru dia hanyalah wanita akhir zaman
yang punya cita-cita menjadi solehah

musim perkahwinan
mengajar kita kewajipan bersama
isteri itu tanah kita langit penaungnya
dia ladang tanaman kita pemugarnya
dia kiasan ternakan kita gembalanya
dia adalah murid kita mursyidnya
dia bagaikan anak kecil kita tempat bermanjanya
saat dia menjadi racun kita penawar bisanya
dia tulang yang bengkok
berhati-hatilah meluruskannya

musim perkahwinan
menginsafkan kita perlunya iman dan taqwa
kita belajar meniti sabar dan reda
memiliki isteri yang tidak sehebat mana
justeru kita tersentak daripada alpa
kita bukannya Rasulullah
cuma suami akhir zaman
yang berusaha menjadi soleh

16/08/08

ANEKDOT 1

Pada suatu hari minggu saya mendengar satu khutbah yang amat menarik daripada seorang pendeta yang masyhur kepetahannya berkhutbah. Sesudah khutbah itu saya diperkenalkan kepada pendeta itu. Akan tetapi saya katakan kepadanya terus terang.
"Apa yang tuan cakapkan itu tadi tidak ada satupun yang mukhtara. Di rumah saya ada kitab yang didalamnya dapat dibaca semua perkataan yang dikhutbahkan itu."

Agak naik radang pendeta itu. Diterangkannya dengan bersungguh-sungguh bahawa khutbahnya itu adalah buah fikirannya sendiri yang baru ditulis.

Saya menjawab,"Baiklah, saya akan kirimkan saja kitab itu kepada tuan esok. Tuan saksikanlah sendiri."
Keesokannya saya kirimkan - sebuah KAMUS!

-Mark Twain (penulis berbangsa Amerika)

bertitik tolak daripada ini, ruang ini lahir bukan ciptaan saya tapi hanya sebagai penyusun kata-kata serta kalimat.