17/11/10

ANEKDOT 182 : BERKORBAN DI PASAR UNTA DI KOTA MEKAH.


(Penyembelih yang menanti pelanggannya)


Hari ini 10 Zulhijjah: Seperti di negara ini, para jemaah sudah pastinya menyambut hari kebesaran Idul Adha. Walaupun suasana perayaan di Tanah Suci tidak sama dengan kemeriahan di negara kita, perayaan Idul Adha di Tanah Suci dipenuhi dengan zikir dan doa mengingati Yang Maha Besar.

Semasa di Tanah Suci saya berkesempatan melakukan ibadah korban seperti yang di tuntut oleh agama kita. Walaupun pihak TH ada menyediakan perkhidmatan ini, namun saya memilih untuk melakukannya sendiri dengan mencari kibas dan unta di pasar unta berhampiran dengan kota Mekah. Bukankah melihat darah daripada korban itu lebih afdhal daripada membayar wang semata-mata.

Sewaktu mahu membayar dam bagi haji tamatuk saya telah diperkenalkan dengan seorang Arab Badwi yang sanggup membawa saya dan beberapa rakan haji untuk ke pasar tersebut. Jaraknya dari Kota Mekah lebih kurang 5 km. sahaja. Di samping itu, saya juga mendapat pertolongan daripada seorang pemastautin Indonesia yang fasih berbahasa Arab. Saya berjaya mengumpul seramai sembilan orang untuk mengikuti saya mengerjakan sembelihan bagi membayar dam.



(Arab Badwi yang mengaku bernama Muhammad ibni Abdullah- jurupandu)

Ketika tiba di pasar, suasana di sini agak sibuk dengan petugas di pasar. Majoriti petugas di sini berbaju merah dan berseluar hitam. Suasana agak menyeramkan. Setiba di kawasan pasar kami telah disambut oleh sekumpulan pak hitam yang bertubuh besar dan sasa. Terdapat antara 9 hingga 10 orang mengerumuni van yang kami naiki. Agak menyeramkan juga kerana rupa paras mereka yang bengis di samping terselit pisau sembelihan di pinggang dan juga di belakang. Mereka tidak mesra bercakap dengan kami. Mujurlah jurupandu dan jurubahasa kami tahu berbahasa Arab dan fasih bertutur dengan mereka. Saya hanya berupaya menggunakan bahasa isyarat selain menggunakan bahasa Melayu untuk berkomunikasi.


(antara tukang lapah daging yang agak tenang -
kebanyakannya berbangsa Afrika Somalia)



(kibas yang kami pilih sebagai korban haji tamatuk -
tidak ditambat seperti kebiasaannya di negara kita)


Seorang lelaki tua berjanggut dan bertongkat menemui kami setelah dipanggil oleh anak buahnya. Melalui jurubahasa saya menyatakan tujuan datang ke situ. Setelah bersetuju untuk membeli kibas daripadanya wang diserahkan untuk sembilan ekor kibas. Seekor kibas dikenakan harga 150 riyal.



(kibas yang telah disembelih digantung untuk dilapah)



(para petugas menyusun kibas setelah disembelih)



(kibas yang baru sahaja disembelih diangkut untuk dilapah)



(tukang sembelih yang berwajah bengis)

Beberapa peristiwa pelik berlaku di pasar ini:

1. Kibas yang hendak dikorbankan tidak ditambat sebaliknya berkumpul dalam satu kumpulan di satu kawasan yang dilingkungi tali bukan pagar.
2. Kibas tidak perlu diheret satu persatu tetapi mengekori dari belakang apabila ketuanya dibawa pergi.
3. Apabila nama pembeli kibas itu dipanggil, kibas akan keluar sendiri untuk disembelih tanpa perlu didorong.
4. Hanya seorang penyembelih yang melakukan kerja penyembelihan - kibas tidak meronta-ronta.
5. Orang berkulit hitam berbaju merah tiba-tiba menjadi sangat mesra setelah selesai kami melakukan ibadah korban dengan mereka - hilang perasaan takut kami.

Dua hari kemudian saya datang lagi untuk menempah unta pula sebagai haiwan korban Idul Adha.


Nota hujung: Kibas-kibas ini mengajar saya erti keredaan pengorbanan.
Sumber: Melihat sendiri darah korban.

2 ulasan:

Dr Singa berkata...

kibas2 tu datang sendiri bila nama pembeli dipanggil?!!

Masya Allah...
amazed......

MUNSYI ragbar berkata...

Begitulah doc...

Tak mungkin percaya kalau tidak melihat sendiri.
Tuhan menunjukkan kebesarannya tanpa kita jangka.

Cubalah apabila ke sana nanti