15/11/10

ANEKDOT 180: TRAVELOG HAJI YANG LALU 2: DI ARAFAH

Hari ini - 9 Zulhjjah: Setelah solat subuh berjemaah dan minum pagi para jemaah bebas melakukan aktiviti sendiri - namun perlu mengawal tingkah laku yang boleh menjejaskan haji mereka ketika berihram.

Saya memilih untuk berada di luar khemah di bawah sebatang pokok yang masih baru di tanam. Pengisian aktiviti di sini seperti mengerjakan solat sunat, membaca al Quran dan berdoa amat di tuntut. Berpandukan beberapa buku doa yang dibawa bersama , saya terus memohon agar segala hajat yang terkandung di hati selama ini dimakbulkan. Berdoa di Arafah pada hari wukuf memang di tuntut kerana berdoa di sini sentiasa di makbulkan Allah.

Ketika duduk di bawah pokok di dalam ruang solat berjemaah, tiba-tiba saya didatangi seorang lelaki yang agak berumur. Agak terkejut apabila tiba-tiba beliau menangis - mulanya hanya esakan kecil dan sedu sedan yang perlahan. Ketika itu beliau baru saja selesai mengerjakan solat sunat. Zikir dan doa bersulamkan esakan dan tangisan beliau mengejutkan saya. Lama juga beliau berkeadaan begitu... saya hanya diam.

Saya mula menyapa beliau apabila keadaannya semakin tenang dan reda. Satu persatu saya cuba bertanya untuk lebih mengenali beliau. Tanpa berselindung, Hj Mat bercerita latar belakang hidupnya dahulu - namun itu semua telah menginsafkan beliau setelah menjejakkan kaki di Tanah Suci. Beliau bercerita dan terus bercerita tanpa saya mencelah. Hj Mat juga mengajar saya erti berdoa sebenarnya, memahami setiap patah kata yang di baca dan di ujarkan. Doa biasa yang berupaya mencairkan hati yang keras sehingga mampu mengalirkan air mata keinsafan...


(Hj Mat - yang banyak mendidik saya di Arafah)


Tengah hari itu, kami berhimpun untuk bersolat zohor dan mendengar khutbah Arafah. Khutbah yang disampaikan amat menusuk jiwa sampai ke tangkai hati... dan waktu itu air mata saya tidak berhenti mengalir tanpa dapat ditahan-tahan. Petua Hj Mat benar-benar memberi kesan.

(mendengar khutbah Arafah)


(jemaah sedang bersiap untuk bertolak ke Muzdalifah pula)



Nota hujung: Arafah yang menginsafkan
Sumber: Kisah sendiri di Tanah Suci

Tiada ulasan: