29/09/08

anekdot 10...

ubatan tradisional
jualan pakaian...
kerepek ubi
bomoh atau pawang? jom angkut - menghalang laluan
ular pun ada

KEPELBAGAIAN DI PASAR TANI
(Foto bercerita)
di perkarangan Stadium Darul Makmur, Kuantan pada 28 Sept 2008


ANEKDOT 9...




tekun menghayati
pengamatan sepenuhnya
sedang blogging?

BAHASA BLOGGER YANG BERLAGA…

Sewaktu melayari beberapa tulisan di ruang blog, beberapa soalan menujah benak fikir saya. Banyak paparan kreatif dipaparkan oleh empunya blog. Menarik dan teruja juga dengan kreativiti mereka. Akan tetapi yang tidak seronoknya…
Apa dah jadi dengan bahasaku? Apa dah jadi dengan penutur bahasaku? Setiap kali saya beralih ruang blog, saya tertanya-tanya, “Bahasa apakah yang dituturkan oleh para blogger ini?” Saya cuba membaca tulisan para blogger ini seperti yang dieja. Pelik! Sungguh pelik bunyi sebutan bahasanya. Perkataan bahasa Melayu yang mudah disebut, dieja begitu rupa. Ini bukan satu bahasa baru, slanga pun tidak. Bahasa sms pun tidak. Inilah bahasa penutur yang tidak tahu berbahasa Melayu. Ada juga yang kata, “Peduli apa, ini blog aku, aku punya suka, aku punya pasal nak tulis apa.” Yang peliknya, kenapa dipaparkan untuk dibaca oleh semua orang? Tuliskan saja ke dalam buku. Kalaupun nak juga menulis di alam maya, sekat saja – jangan bagi orang lain baca! Anda saja yang boleh akses untuk bacaan anda sendiri! Tulislah dalam bahasa Melayu dengan ejaan yang baik dan betul. Tidak semestinya menulis dengan bahasa yang betul membosankan. Kunjungilah blog Mawar Shafie, Shamsudin Othman (Tanah Nurani), Rahimidin Zahari, Marsli N.O. dan beberapa nama lagi.
Lihat contoh: ( sekadar beberapa contoh)
Pnyer ; Lamer ; Skewl ; Cayunks ; Ihiks
Ahaks ;Ngan sdre ; Camne ; pepon

Sebaliknya, blogger yang menggunakan bahasa Inggeris, tidak pula bersikap sedemikian. Mereka menulis dan mengeja masih menggunakan ejaan yang betul. Kalaupun ada akronim perkataan, masih boleh difahami. Pernah jumpa perkataan seperti ini?
Gtg – got to go
RSVP – please reply
ASAP – as soon as possible
Lol – lot of love
Omg – oh my gosh!

Apakata para penulis blog?


Catatan tslee

26/09/08

BANDAR OREN

deretan kedai berwarna oren



Sewaktu melawati pedalaman negeri Terengganu, saya melalui bandar berwarna oren - jambatan, bangunan kedai, tiang lampu. Bagaimana kesepakatan ini dilakukan?

23/09/08

MAJLIS MUNSYI


JIKA KURANG ILMU DI DADA
CARILAH BEKAL SEPENUH JIWA

JIKA DANGKAL ILMU AKAL
BERGURU SETIA DENGAN PENDETA

JIKA CETEK ILMU DUNIA
PERDALAM IA RAJIN BERKELANA

JIKA LEMAH ILMU AGAMA
TUNTUTLAH DENGAN ORANG BIJAKSANA

JIKA HENDAK BERKAT HIDUPNYA
KELEKLAH DUNIA JUNJUNGLAH AGAMA

KEPADA ALLAH KITA RAFIKKAN
REDALAH INSAN KEPADA TUHAN
BERKATLAH MAJLIS KITA AMINKAN
BIARLAH LANCAR KITA USAHAKAN

BILA BERTUTUR DENGARI KATA
BILA BERBICARA RENUNGI IA
BILA NASIHAT AMATI SENTIASA
ITULAH TANDA HIDUP BERMAKNA

BILA TERLINTAS DI BENAK FIKIR
PASTI ITU HENDAK DISAMPAI
APA DISAMPAI BERTUJUAN
ADA ARAH ADA MANDAT
ADA MATLAMAT HARUS DISASAR
TIDAK GELINCIR DARI LANDASAN

YANG DITUNGGU SUDAHPUN TIBA
YANG DINANTI SUDAHPUN BERTANDANG
TIBANYA BERMANIS MUKA
TANDANGNYA DISAMBUT GEMBIRA

BERBUDI MENGENANG JASA
BERBAHASA BUDAYA KITA
MEMBERI TANDA BUDI DITERIMA
MENERIMA ITU TANDA MURAH REZEKINYA

YANG ILMUNYA DAPAT DITIMBA
YANG ALIMNYA DAPAT DIBANDING
YANG BUDINYA TAHAN LASAK
YANG BERCAKAP BERLIDAH ASIN

TEMPAT ORANG MEMINTA PETUA
TEMPAT ORANG BERGANTUNG TUAH
TEMPAT ORANG MENGADU NASIB
TEMPAT KUSUT DISELESAIKAN

BAGAI TELUK HIMPUNAN KAPAL
BAGAI TANJUNG TUMPUAN ANGIN
BAGAI PAYUNG KEMBANG SEKAKI

12/09/08

TEMAN

MENCARI TEMAN

Tak perlu mencari teman secantik Balqis
andai diri tak sehebat Sulaiman

Mengapa mengharap teman setampan Yusof
jika kasih tak setulus Zulaikha

Tak perlu mencari teman seteguh Ibrahim
andai diri tak sekuat Hajar

dan mengapa didambakan teman hidup sesempurna Rasullullah
jika ada kekurangan pada dirimu

bimbinglah dirinya dan terimalah kekurangan itu sebagai keunikan,
carilah kebaikan pada dirinya,

bersyukurlah kerana dipertemukan dengannya
dan berdoalah semoga dia menjadi milikmu selamanya…

GURU OH GURU!

PETUA SEORANG GURU

Kalau guru mengajar sambil duduk,
Murid belajar sambil mengantuk,

Kalau guru mengajar sambil berlakon,
Murid belajar dengan tekun,

Kalau guru mengajar tanpa alat,
Murid belajar dengan ralat,

Kalau guru mengajar banyak bercakap,
Ada murid tambah gagap,

Kalau guru pemudahcara,
Ramai murid pandai berbicara,

Kalau guru mengajar tanpa menilai,
Tak akan tahu murid lemah dan pandai,

Kalau guru tunggu diarah,
Semua kerja kena kerah,

Kalau guru kurang mengajar,
Dapatlah murid kurang ajar,

Kalau guru kurang merancang,
Di bilik darjah banyak temberang,

Kalau guru suka berdamping,
Semua murid dapat dibimbing,

Kalau guru berbudi bahasa,
Dikenang orang sepanjang masa.

8/09/08

ANEKDOT 8 - OTAK OH OTAK!

Inilah otak manusia...
OTAK ORANG KITA
Seorang hartawan dari negara matahari terbit telah menghidapi sakit barah otak. Beliau dalam keadaan koma sejak beberapa bulan yang lalu. Menurut pakar, barah otak itu tidak boleh disembuhkan. Masih belum ada ubat yang dihasilkan bagi tujuan tersebut. Seluruh anggota keluarga hartawan tersebut berasa risau kerana tanpa hartawan tersebut mereka tidak berupaya menjalankan operasi perniagaan multinasional miliknya. Beliau menyara lebih daripada sepuluh ribu orang pekerja tidak termasuk rangkaian perniagaan di luar negara.

Salah seorang daripada doktor pakar saraf otak mencadangkan supaya otak hartawan tersebut diganti. Di hospital pakar itu terdapat bank otak yang dapat memenuhi keperluan tersebut. Setelah persetujuan dicapai, keluarga hartawan itu bersepakat untuk memilih otak yang terbaik untuk hartawan tersebut.
Pada hari yang telah ditetapkan mereka ke bank otak bagi tujuan memilih otak terbaik dan masih segar. Doktor pakar otak telah menyediakan tiga ketul otak daripada bangsa yang terpilih . Setiap otak ditandai dengan HB1, HB2, dan HB3.
Doktor pakar mula memperkenalkan otak-otak tersebut satu persatu.


“Otak ini kepunyaan seorang professor fizik yang sangat terkenal. Sebelum kematiannya, beliau seorang ahli perniagaan yang amat berjaya. Sebagai bangsa Yahudi yang amat dikenali dengan kepintaran mereka, beliau salah seorang daripada mereka”.

“Kami fikir otak ini tidak berapa sesuai dengan pengerusi kami. Lihat saja urat-urat pada otak ini. Semuanya telah tegang dan keras. Ia terlalu banyak digunakan. Mungkin tiada ruang lagi untuk diisi”.

“Kalau begitu, cuba tuan lihat pula otak yang bertanda HB2 ini pula. Ia kelihatan lebih bersih dan segar berbanding otak HB1. Mungkin otak ini sesuai untuk hartawan ini, tuan.”

“Mungkin juga! Saiznya agak besar berbanding dengan otak yang lain. Milik siapakah otak ini, tuan doktor?”

“Ia milik seorang usahawan dan dermawan berbangsa Amerika. Beliau juga mempunyai rangkaian perniagaan antarabangsa yang berpusat di Dallas, Texas. Beliau meninggal dunia dua minggu yang lepas. Otak ini didermakan kepada pusat perubatan ini.”

“Saya fikir tuan saya tidak akan bersetuju. Lihat sajalah apa yang telah dilakukan oleh rakyat Amerika di seluruh dunia.”

“Ahh, bagaimana pula otak yang bertanda HB3 ini?. Saya rasa otak inilah yang paling sesuai dengan tuan saya. Urat-uratnya kelihatan bersih dan masih lembut. Ia juga nampak sangat segar. Tentu otak ini belum digunakan sepenuhnya oleh pemiliknya dahulu. Saya pasti tuan saya dapat menggunakan otak ini dengan sebaiknya. Apa pendapat tuan doktor, bersetujukah dengan saya?”

“Ya, memang benar tuan, tetapi otak ini telah berusia 46 tahun.”

“Tidak mengapa. Milik siapakah otak ini tuan doktor?”

“Oh, ia milik seorang lelaki berbangsa Melayu.”


-istimewa buat orang yang selalu kata "aku malas nak fikir dah!'

4/09/08

ANEKDOT 7 - PANDAI, CIKGU!


MESIN CUCI

Berdasarkan sifat saya yang tegas saya kerap diberikan mengajar kelas belakang-belakang.
Walaupun saya sudah berusaha demi kecemerlangan, keputusan yang dicapai masih tetap sederhana. Hanya seorang berdua yang mampu mendapat ‘A’ dalam peperiksaan mereka.
Sebelum keputusan disebutkan dalam mesyuarat post mortem, saya berjumpa dengan pengetua secara perseorangan bagi menerangkan usaha saya dan kehampaan saya dengan keputusan yang dicapai.

“Saya minta maaf cikgu, saya tidak dapat menghasilkan keputusan yang diharap-harapkan. Saya sudah cuba yang terbaik, tapi…”

“Cikgu Ong, secara jujur saya bertanya. Berdasarkan target individu pelajar adakah ia mencapai sasaran?”

“Hampir tepat cikgu. Untuk ‘A’ target 2, dapat 2: untuk ‘B’ target 23, dapat 21; untuk ‘C’ target 48, dapat 50; selebihnya ‘D’.”

“Cikgu Ong puas hati?”

“Puas.”

“Habis tu apa lagi?”

Saya bimbang cikgu tak puas hati...”

“Cikgu Ong, saya hampir mencecah usia emas, sudah banyak rambut uban, kata orang tanda kebijaksanaan. Saya tidak mudah melenting dan melatah. Bagi saya proses mendidik seperti proses mencuci pakaian. Kalau daripada jenis sutera: celup, bilas dan sidai. Jenis kain rayon, kena basuh dengan tangan perlahan-lahan. Kalau kain kapas pula, kena berus dan kalau kain belacu kenalah sental kuat-kuat. Janji bersih dan yang dibersihkan belacu tetap belacu, tidak mungkin jadi sutera tetapi belacu yang bersih!”

Dipetik daripada “Cerita-cerita Motivasi Untuk Guru” – Hamedah Wok Awang, PTS Publication, Bentong 2004)

ANEKDOT 6 - CERITA JADUAL


BELUM CUKUP MAKLUMAT

Seperti kelazimannya, apabila dapat jadual waktu pada awal tahun, ramailah guru yang tidak puas hati dengan jadual waktu.
Pengetua kami Cikgu Ain dengan penuh diplomasi memberitahu “Saya tahu ramai yang tidak puas hati, maklumlah bukan mudah hendak memuaskan hati semua orang walaupun kami cuba sedaya upaya berlaku adil. Jika ada yang masih tidak berpuas hati, boleh jumpa Cikgu Wan, Guru Penolong Kanan kita.”
Sebagai seorang guru yang baru ditukarkan ke SMKXX, saya mendapati dengan dua puluh lapan waktu yang saya dapat dikira berat dibandingkan dengan rakan-rakan yang dapat dua puluh enam atau dua puluh tujuh waktu mengajar. Saya pergi jumpa Cikgu Wan dan menyuarakan rasa tidak puas hati saya.
“Memang susah hendak dapat sama banyak, kerana bukan dapat diberi waktu.”
“Tetapi mengapa orang lain kurang?” Tidak adillah.”
“Beginilah Cikgu Gee, cikgu tunggu seminggu dulu, kumpulkan maklumat secukupnya, berapa orang pelajar setiap kelas, berapa buku yang perlu diperiksa, di mana kelas, di tingkat berapa, berapa langkah untuk sampai ke kelas. Semak sekali, kelas cikgu tu sebelum rehat atau selepas rehat kerana jangka masa waktu selepas rehat tiga puluh minit dibandingkan dengan sebelum rehat empat puluh minit.”

“Apabila sudah cukup semua maklumat datang jumpa saya lagi.”

“Satu lagi Cikgu Gee, jangan lupa jumpa pembantu tadbir; semak gaji. Ada orang gaji besar, mengajar sedikit. Yang saya pasti, pengetua, gaji paling banyak mengajar paling sedikit.”

“Lagi” saya bersungut dalam hati.

Selepas seminggu saya tidak pun berjumpa Cikgu Wan. Tidak mampu saya berbuat demikian, seperti tidak mampunya Cikgu Wan melayan karenah cikgu seperti saya.

(Dipetik daripada “Cerita-cerita Motivasi Untuk Guru” – Hamedah Wok Awang, PTS Publication, Bentong 2004)