23/11/10

ANEKDOT 183: APABILA KAWAN KITA BERTALKIN


Seorang teman telah menghantar emel ini ke inbox saya. Tersenyum-senyum saya membacanya. Sekarang saya ingin berkongsi pulak dengan pengunjung blog ini.





"Kisah ni aku kutip dari pengalaman seorang pemburu masa aku outstation kat kuantan dulu...Tempat dia tinggal ni memang dekat ngan kampung orang asli dan dia ni memang dah ramai kenalan kat situ...ada banyak cerita aku nak kongsi ngan korang...itupun kalau sudi nak baca...
Ini cerita pasal cara-cara orang asli berucap (dlm Islam kite panggil talkin ler) untuk si mati... tapi seingat aku diorang ni bukan beragama Islam.
Mereka gelarkan si mati tu AJIS walaupun tu bukan nama si mati semasa hidup. Bila mayat tu dah ditanam, salah seorang kaum mereka / tok batin pun mulalah membaca 'ucapan' macam imamlah...) bunyinya camni."

"HAI AJISS...
MATI JUGAK KO AJISS...SEKEJAP LAGI ADA ORANG BESAR MAU DATANG...(kalau kita, malaikat mungkar dan nakir) KALAU DIA TANYA, KO JAWAB YANG BAIK-BAIK SAJA...YANG JAHAT-JAHAT DIA TAK TAU...KALAU DIA PUKUL KAU DARI KANAN...KAU ELAK KE KIRI...KALAU DIA PUKUL DARI KIRI...KAU ELAK KE KANAN...KALAU DIA HANTAM DARI DEPAN...KAU ELAK KE BELAKANG...KALAU DIA HANTAM DARI BELAKANG...PANDAI-PANDAI KAU LAH AJISSSSS......"


Pastu komat kamit lah mulut pemberi 'ucapan' tu...dan mereka pun beredar dari situ...dari mula sampai habis 'ucapan' , kawan aku yang ikut mereka pergi tanam mayat tu kena tahan gelak sampai merah padam muka dia...

Sewaktu orang asli itu tanya mengapa...kawan aku cakap. "sedih..."

Pengajarannya...
Dia orang pun percaya juga azab kat dalam kubur...

Nota hujung: Semua kepercayaan ada ritualnya sendiri.
Sumber: Emel seorang kawan

17/11/10

ANEKDOT 182 : BERKORBAN DI PASAR UNTA DI KOTA MEKAH.


(Penyembelih yang menanti pelanggannya)


Hari ini 10 Zulhijjah: Seperti di negara ini, para jemaah sudah pastinya menyambut hari kebesaran Idul Adha. Walaupun suasana perayaan di Tanah Suci tidak sama dengan kemeriahan di negara kita, perayaan Idul Adha di Tanah Suci dipenuhi dengan zikir dan doa mengingati Yang Maha Besar.

Semasa di Tanah Suci saya berkesempatan melakukan ibadah korban seperti yang di tuntut oleh agama kita. Walaupun pihak TH ada menyediakan perkhidmatan ini, namun saya memilih untuk melakukannya sendiri dengan mencari kibas dan unta di pasar unta berhampiran dengan kota Mekah. Bukankah melihat darah daripada korban itu lebih afdhal daripada membayar wang semata-mata.

Sewaktu mahu membayar dam bagi haji tamatuk saya telah diperkenalkan dengan seorang Arab Badwi yang sanggup membawa saya dan beberapa rakan haji untuk ke pasar tersebut. Jaraknya dari Kota Mekah lebih kurang 5 km. sahaja. Di samping itu, saya juga mendapat pertolongan daripada seorang pemastautin Indonesia yang fasih berbahasa Arab. Saya berjaya mengumpul seramai sembilan orang untuk mengikuti saya mengerjakan sembelihan bagi membayar dam.



(Arab Badwi yang mengaku bernama Muhammad ibni Abdullah- jurupandu)

Ketika tiba di pasar, suasana di sini agak sibuk dengan petugas di pasar. Majoriti petugas di sini berbaju merah dan berseluar hitam. Suasana agak menyeramkan. Setiba di kawasan pasar kami telah disambut oleh sekumpulan pak hitam yang bertubuh besar dan sasa. Terdapat antara 9 hingga 10 orang mengerumuni van yang kami naiki. Agak menyeramkan juga kerana rupa paras mereka yang bengis di samping terselit pisau sembelihan di pinggang dan juga di belakang. Mereka tidak mesra bercakap dengan kami. Mujurlah jurupandu dan jurubahasa kami tahu berbahasa Arab dan fasih bertutur dengan mereka. Saya hanya berupaya menggunakan bahasa isyarat selain menggunakan bahasa Melayu untuk berkomunikasi.


(antara tukang lapah daging yang agak tenang -
kebanyakannya berbangsa Afrika Somalia)



(kibas yang kami pilih sebagai korban haji tamatuk -
tidak ditambat seperti kebiasaannya di negara kita)


Seorang lelaki tua berjanggut dan bertongkat menemui kami setelah dipanggil oleh anak buahnya. Melalui jurubahasa saya menyatakan tujuan datang ke situ. Setelah bersetuju untuk membeli kibas daripadanya wang diserahkan untuk sembilan ekor kibas. Seekor kibas dikenakan harga 150 riyal.



(kibas yang telah disembelih digantung untuk dilapah)



(para petugas menyusun kibas setelah disembelih)



(kibas yang baru sahaja disembelih diangkut untuk dilapah)



(tukang sembelih yang berwajah bengis)

Beberapa peristiwa pelik berlaku di pasar ini:

1. Kibas yang hendak dikorbankan tidak ditambat sebaliknya berkumpul dalam satu kumpulan di satu kawasan yang dilingkungi tali bukan pagar.
2. Kibas tidak perlu diheret satu persatu tetapi mengekori dari belakang apabila ketuanya dibawa pergi.
3. Apabila nama pembeli kibas itu dipanggil, kibas akan keluar sendiri untuk disembelih tanpa perlu didorong.
4. Hanya seorang penyembelih yang melakukan kerja penyembelihan - kibas tidak meronta-ronta.
5. Orang berkulit hitam berbaju merah tiba-tiba menjadi sangat mesra setelah selesai kami melakukan ibadah korban dengan mereka - hilang perasaan takut kami.

Dua hari kemudian saya datang lagi untuk menempah unta pula sebagai haiwan korban Idul Adha.


Nota hujung: Kibas-kibas ini mengajar saya erti keredaan pengorbanan.
Sumber: Melihat sendiri darah korban.

16/11/10

ANEKDOT 181: TRAVELOG HAJI YANG LALU 3: KE MUZDALIFAH

(berlatarbelakangkan jemaah yang sedang beribadah)


9 Zulhijjah malam: Selepas maghrib malam itu semua jemaah telah bersiap sedia untuk bergerak ke Muzdalifah. Para jemaah diangkut menggunakan bas untuk mabit di Muzdalifah. Pihak muasasah haji Mekah menempatkan jemaah di dalam tempat menunggu yang berpagar sementara menanti bas tiba. Ada sesetengah jemaah yang bertenaga lebih suka berjalan kaki untuk ke Muzdalifah kerana jaraknya yang dekat - lebih kurang 5 - 6 km sahaja.

Para jemaah perlu sabar menunggu giliran untuk diangkut ke Muzdalifah. Adakalanya terdapat juga para jemaah yang tersilap jangkaan - jarak yang dekat akan mengambil masa sehingga lapan jam untuk sampai walaupun menaiki bas. Kesesakan jalan menyebabkan mereka lambat tiba ke destinasi. Tidak kurang juga berlaku beberapa peristiwa pelik ketika berada dalam perjalanan menuju Muzdalifah.

Di Muzdalifah para jemah ditempatkan di satu kawasan lapang tanpa khemah. Di sini para jemaah mengutip 'anak-anak batu' untuk digunakan semasa melontar jamrah di Mina nanti. Sementara menunggu untuk ke Mina para jemaah melakukan ibadah-ibadah sunat yang dituntut.

Suasana malam yang dingin, ditambah pula dengan para jemaah yang ramai menuntut banyak kesabaran daripada setiap individu. Sepanjang malam kami tidak tidur. Sambil melakukan aktiviti beribadah , saya sempat merakamkan beberapa keping gambar yang kesemuanya menjadi kabur. Pelik. Cuma beberapa keping gambar sahaja yang dapat dijadikan kenangan.

Esoknya, pada awal pagi kami akan bertolak menuju Mina pula. (Peristiwa di Mina telah di ceritakan sebelum ini). Hari Raya Aidil Adha di sambut di Mina.


Nota hujung: Katanya, malaikat turun pada malam itu...
Sumber: Catatan peribadi.

15/11/10

ANEKDOT 180: TRAVELOG HAJI YANG LALU 2: DI ARAFAH

Hari ini - 9 Zulhjjah: Setelah solat subuh berjemaah dan minum pagi para jemaah bebas melakukan aktiviti sendiri - namun perlu mengawal tingkah laku yang boleh menjejaskan haji mereka ketika berihram.

Saya memilih untuk berada di luar khemah di bawah sebatang pokok yang masih baru di tanam. Pengisian aktiviti di sini seperti mengerjakan solat sunat, membaca al Quran dan berdoa amat di tuntut. Berpandukan beberapa buku doa yang dibawa bersama , saya terus memohon agar segala hajat yang terkandung di hati selama ini dimakbulkan. Berdoa di Arafah pada hari wukuf memang di tuntut kerana berdoa di sini sentiasa di makbulkan Allah.

Ketika duduk di bawah pokok di dalam ruang solat berjemaah, tiba-tiba saya didatangi seorang lelaki yang agak berumur. Agak terkejut apabila tiba-tiba beliau menangis - mulanya hanya esakan kecil dan sedu sedan yang perlahan. Ketika itu beliau baru saja selesai mengerjakan solat sunat. Zikir dan doa bersulamkan esakan dan tangisan beliau mengejutkan saya. Lama juga beliau berkeadaan begitu... saya hanya diam.

Saya mula menyapa beliau apabila keadaannya semakin tenang dan reda. Satu persatu saya cuba bertanya untuk lebih mengenali beliau. Tanpa berselindung, Hj Mat bercerita latar belakang hidupnya dahulu - namun itu semua telah menginsafkan beliau setelah menjejakkan kaki di Tanah Suci. Beliau bercerita dan terus bercerita tanpa saya mencelah. Hj Mat juga mengajar saya erti berdoa sebenarnya, memahami setiap patah kata yang di baca dan di ujarkan. Doa biasa yang berupaya mencairkan hati yang keras sehingga mampu mengalirkan air mata keinsafan...


(Hj Mat - yang banyak mendidik saya di Arafah)


Tengah hari itu, kami berhimpun untuk bersolat zohor dan mendengar khutbah Arafah. Khutbah yang disampaikan amat menusuk jiwa sampai ke tangkai hati... dan waktu itu air mata saya tidak berhenti mengalir tanpa dapat ditahan-tahan. Petua Hj Mat benar-benar memberi kesan.

(mendengar khutbah Arafah)


(jemaah sedang bersiap untuk bertolak ke Muzdalifah pula)



Nota hujung: Arafah yang menginsafkan
Sumber: Kisah sendiri di Tanah Suci

14/11/10

ANEKDOT 179:TRAVELOG HAJI YANG LALU 1: MENUJU ARAFAH


Hari ini 8 Zulhijjah: para bakal haji sudah pasti mula bergerak ke Arafah untuk berwukuf. Saya masih ingat sewaktu mengerja haji pada tahun lepas, hari ini kami meninggalkan Mekah. Sewaktu bas bergerak pada petang itu - selepas waktu asar - hujan turun dengan lebatnya. Sehari sebelum itu lagi rintik-rintik hujan sudah mulai membasahi kota Mekah. Sewaktu berada di Masjidil Haram pada subuh itu, perasaan sayu amat terasa. Hati terasa berat untuk meninggalkan Kota Mekah walaupun untuk seketika...


(para jemaah bersolat subuh di atas jalan di Ajyad Street)
subuh yang mengharukan...


Ketika tiba di Arafah, hujan sudah mulai reda. Kami di maklumkan oleh petugas TH, Mekah dilanda banjir besar. Masya-Allah, Mekah tidak pernah menerima hujan selebat itu sejak 25 tahun yang lalu, menurut kata petugas TH tersebut.
Setelah selesai urusan khemah untuk bermalam dan bersolat saya mengambil kesempatan untuk meninjau di luar kawasan khemah. Malam itu saya menemukan beberapa kenalan yang telah lama terpisah...benarlah kata orang - Arafah tempat pertemuan!


(di bahagian belakang tempat penginapan jemaah haji Malaysia)


(bersama-sama Hj Hashim)


(Minum pagi - kopi Arab di Arafah)


Sepanjang hari para jemaah sentiasa mengerjakan ibadah - bersolat, bertadarus, berdoa - tidak kurang juga yang hanya mengisi masa dengan bersendiri mencari keredaan Ilahi.

(Suasana di dalam khemah Arafah dan aktiviti jemaahnya)


(Bersama Hj. Mat - bekas pegawai FELDA- ceritanya dalam entri akan datang)


Nota hujung: Arafah yang menginsafkan
Sumber: Kisah sendiri