27/02/09

ANEKDOT 50...


KOMUNIKASI BERKESAN – Di mana silapnya..?

Seorang Pengarah Urusan memberi arahan kepada Pengarahnya...

“Esok akan ada gerhana matahari penuh pada pukul sembilan pagi. Ini adalah kejadian yang tak boleh kita lihat setiap hari. Untuk menyambut dan melihat peristiwa ini, seluruh pekerja diminta untuk berkumpul di padang dengan berpakaian kemas. Saya akan menjelaskan fenomena alam ini kepada mereka. Jika esok hujan.. dan kita tidak boleh melihatnya dengan jelas - kita akan berkumpul di kantin saja.”

Lalu Pengarah itu menyampaikan arahan bos nya kepada Ketua Jabatan...

Ini adalah arahan Pengarah Urusan... esok pada pukul sembilan pagi akan ada gerhana matahari penuh. Jika esok hujan, kita tidak boleh berkumpul di padang untuk melihatnya dengan berpakaian kemas. Dengan demikian, peristiwa gerhana matahari ini akan dijelaskan oleh Pengarah Urusan di kantin sahaja. Ini adalah kejadian yang tak boleh kita lihat setiap hari.”

Seterusnya Ketua jabatan pula menyampaikan pada ketua seksyen...

“Ini adalah arahan dari Pengarah Urusan... esok kita akan mengikuti peristiwa gerhana matahari di kantin pada pukul sembilan pagi dengan berpakaian kemas. Pengarah Urusan akan menjelaskan apakah esok akan hujan atau tidak. Ini adalah kejadian yang tak boleh kita lihat setiap hari.”

Seterusnya Ketua Seksyen pula menyampaikan amanat tadi kepada penyelia...

“Jika esok turun hujan di kantin.. kejadian yang tak boleh kita lihat setiap hari, Pengarah Urusan, dengan berpakaian kemas akan gerhana pada pukul sembilan pagi.”

Akhir sekali penyelia menyampaikan arahan tersebut kepada para pekerjanya...

“Esok pagi... pada pukul sembilan... Pengarah Urusan akan gerhana. Sayang sekali, kita tidak boleh melihatnya setiap hari.”

Nota hujung: Cuba kesan – di mana silapnya.
Lebih baik semua arahan disampaikan secara bertulis.

Sumber : Emel Pak Lawak

26/02/09

ANEKDOT 49...



PESTA PEPERIKSAAN



“PEPERIKSAAN LAGI? Minggu ni? Letihlah cikgu..!”

“Dah jadi rutin… hinggalah kamu ke universiti.”

“Saya selalu stres apabila dengar exam.”. “I don’t know why…but I know what for…

“Aah, mudah je. Anggap exam ni perkara senang je. Kacang - macam nak gi seronok-seronok je.”

“Boleh ke buat macam tu?”

“Cuba bayangkan pergi exam tu macam pergi pesta, karnival atau satu fiesta.”

“Tentu seronok kan, cikgu?!” "Kita ganti minggu peperiksaan dengan fiesta peperiksaan ataupun karnival peperiksaan" "Wah, menarik juga bunyinya..."

“Paling tidakpun macam SMARTniaga tu…” “Pasti untung walaupun letih.”

“?!?! Ke situ pulak perginya.”




Nota kaki: Oh, exam - I don't know why, but i know what for.

Sumber: Para pelajar yang disayangi.





ANEKDOT 48...

CANTIKKAH WANITA DAHULU...?

Orang dahulu tiada kamera untuk merakamkan kecantikan wanitanya. Apatah lagi, masyarakat dahulu percaya melukis gambar akan menyebabkan roh pemiliknya terganggu. Lalu apakah cara untuk mereka menggambarkan kecantikan seseorang?

Namun masyarakat Melayu dahulu kaya dengan unsur-unsur alam untuk membuat bandingan dan kiasan. Bandingan yang adakalanya berlebih-lebih ini hanya divisualkan di dalam minda pendengarnya. Bagaimana sekiranya dilukiskan di kertas? Andainya anda pelukis silalah lakarkan kecantikan wanita seperti yang digambarkan oleh orang-orang dahulu.

1. Mukanya bujur sirih
2. Dagunya lebah bergantung
3. Rambutnya ikal mayang
4. Matanya bintang tujuh
5. Alisnya semut beratur
6. Hidungnya seludang mayang
7. Bibirnya limau merekah
8. Pipinya licin bak pauh dilayang
9. Lehernya jinjang bergalah
10. Bahunya lebar tempat beradu
11. Dadanya bidang panau Jawa.


Mungkinkah begini gambarannya?

^
^
^
^
^
^
^
^
^




Nota hujung: Tiada gambar secantik lukisan





Sumber: Bahasa-bahasa perbandingan







23/02/09

ANEKDOT 47...

FOTO BERCERITA ...


(Siapa tersenyum?)

(mengecat jari gergasi?)

(muka ikan marah?)


(rumah somersault)

(perpustakaan)

(jom menari...)


Nota hujung: Inilah kreativiti...

Sumber: Emel daripada kawan-kawan.

22/02/09

ANEKDOT 46...


SEMIOTIK MELAYU

Orang Melayu halus sifatnya. Mereka seringkali berusaha menjaga hati orang lain. Untuk mengelak timbulnya sebarang rasa yang menyinggung orang lain, orang Melayu mencipta pelbagai bahasa kiasan – semua ini terkandung dalam pantun, bidalan, pepatah, seloka, gurindam, dan banyak lagi puisi tradisional tercipta. Semiotik bahasa ini menjadi bahasa basahan orang Melayu dahulu. Namun masyarakat kini perlu mentafsir setiap patah kata yang dituturkan dahulu untuk memahami kesiratan maknanya.

Selain itu, orang Melayu juga mencipta busana yang dapat menggambarkan perilaku pemakainya. Baju Melayu dan baju kurung mempunyai maknanya pada setiap bentuk ciptaannya. Paling menarik cara pemakaian kain batik. Kain batik yang coraknya dicipta segegitu rupa membawa makna yang menarik. Tahukah anda bahagian-bahagian kain batik? Tahukah cara pemakaiannya?





Katanya; kepala kain dapat menggambarkan status seseorang, sama ada anak dara, seorang isteri mahupun seorang janda.

Kepala kain yang diletakkan di bahagian hadapan bermaksud pemakainya masih lagi anak dara;

Kepala kain yang dipakai di bahagian belakang membawa maksud pemakainya sudah berkahwin;


dan sesiapa yang meletakkan bahagian kepala kain di sisi, sama ada kiri atau kanan membawa maksud pemakainya sudah berstatus janda.


Nota kaki : Anak dara kini dah ganti kain batik dengan seluar trek dan seluar pendek - tentu tak tahu apa-apa lagi...!


Sumber: Catatan Pak Tenas Affendy



19/02/09

ANEKDOT 45...

TOLONG...SERENTAK

Dua orang kanak-kanak jatuh ke sungai dan mereka tidak pandai berenang. Salah seorang daripada kanak-kanak itu berteriak .

“Tolong… Tolong.!!!”

Rakannya yang lain berkata,

“Mungkin lebih baik kalau kita berteriak serentak.”

Idea yang bagus, jawab rakannya dan dia mulai berteriak,

“Serentak!!! serentak!!!”

Nota hujung: Ini kes kebengongan.!

Sumber: Lawak koner

ANEKDOT 44...

MANUSIA SINONIM BINATANG?

Ni saja nak kongsi pendapat...Bukti-bukti bahawa manusia bersaudara dengan binatang…melalui peribahasa.

Kalau tak percaya …cuba baca ni.

Bodoh Macam Lembu : Bodoh-bodoh lembu pun, kita makan jugak dia, dia tak ada selera pun kat kita...kan..kan?

Cerdik Macam Kancil : Kalau cerdik dalam peperiksaan… tak kata pulak cerdik macam kancil...kancil pulak tak pernah diberi ijazah sebab cerdik...betul tak?

Busuk Macam Kambing : Kambing tu memang jenis tak boleh kena air - kembung. Manusia ni lain, ada yg suka air dan ada yang banyak air. Busuk-busuk kambing, mahal harganya – busuk-busuk manusia?

Garang Macam Harimau : Bila kena kejar dek harimau, mana pergi pulak garang tuh...haha? Cukup-cukuplah samakan manusia dengan binatang… hehehe


Nota hujung: Peribahasa yang menggunakan ayam paling banyak...

Sumber: Lawak Koner

ANEKDOT 43...

INDAHNYA BAHASA PANTUN

GURINDAM JIWA

Tuai padi antara masak,
Esok jangan layu-layuan;
Intai kami antara nampak,
Esok jangan rindu-rinduan.

Anak Cina pasang lukah,
Lukah dipasang di Tanjung Jati;
Di dalam hati tidak kulupa,
Sebagai rambut tersimpul mati.

Batang selasih permainan budak
Daun selasih dimakan kuda;
Bercerai kasih talak tiada,
Seribu tahun kembali juga.

Burung merpati terbang seribu,
Hinggap seekor di tengah laman;
Hendak mati di hujung kuku,
Hendak berkubur di tapak tangan


Kalau tuan mudik ke hulu,
Carikan saya bunga kemboja;
Kalau tuan mati dahulu,
Nantikan saya di pintu syurga.


Nota hujung : Metafora dan hiperbola

Sumber: Filem "Gurindam Jiwa"

16/02/09

ANEKDOT 42...



BIAWAK BITARA

Seorang pelajar bertanya gurunya,
“Cikgu, apa makna bitara? Selalu puan pengetua sebut kebitaraan… tapi saya tak faham pun.”

“Jadi selama ni, awak buat-buat faham je la, ya.”

“Ini bahasa Melayu ke cikgu?”

“Kata asalnya tara…tapi menerima imbuhan pinjaman ‘bi’ ."

“Maksud ‘bi’, cikgu…?”

“Ini imbuhan Arab Parsi yang bermakna tidak atau tiada.”

“Jadi bitara maknanya tiada tara. Lebih tepat lagi tiada tandinganhebat dan cemerlang. Begitulah maksud pemakaiannya.”

“Kalau begitu…bicara maknanya tiada caralah, cikgu,” sambil ketawa.

“Ikut rumus begitu – kalau tiada awak , bolehlah kita kata awak biawak. Setuju?”

?!?!?

Nota hujung : Rajin-rajinlah rujuk buku tatabahasa.

Sumber: Cerita Munsyi tentang bahasa




ANEKDOT 41...

MAT SALLEH CUPLIK BAHASA KELANTAN

Kata orang Kelantan, banyak bahasa Inggeris asalnya bahasa Kelantan. Setelah diinggeriskan sebutannya, jadilah bahasa Kelantan sebagai bahasa Inggeris. Tak percaya..? Ini buktinya…padanan dialek Kelantan dengan bahasa Inggeris.

Serupa Maket – (Kelantan) sama makna dengan Supermarket

Bekwah – (Kelantan) sama makna dengan BigWar (kenduri)

Panas Soh oh – (Kelantan) sama makna dengan so hot

Gostan – (Kelantan) go astern (undur)
…dan banyak lagi.


Nota hujung : Tak percaya..? Tanya budak Kelantan.

Sumber: Saya buke budok Klatam

1/02/09

ANEKDOT 40...

ANTARA KAMBIN' DAN IKANG

Orang Kedah dan orang Terengganu tak boleh duduk sama. Mereka kerap menjauhkan diri antara satu sama lain. Puncanya?

Suatu ketika dahulu orang Terengganu telah menyerang Kedah. Kedah kalah teruk. Bukan sahaja habis segala harta benda dibawa lari - orang Terengganu juga membawa lari huruf 'G' pulang ke Terengganu. Sejak itu orang Terengganu menambahkan huruf 'g' di hujung perkataan yang berakhir dengan 'n'. Maka berlakulah perubahan kepada sebutan dalam loghat Terengganu.

Ikan disebut ikang, makan disebut makang, jalan disebut jalang dan beberapa perkataan lagi.

Apa jadi kepada orang Kedah? Mereka tidak lagi boleh menggunakan huruf 'G' yang telah dibawa lari ke Terengganu. Semua sebutan yang berakhir dengan huruf 'G' digugurkan sebutannya. Maka berlakulah juga perubahan sebutan dalam dialek Kedah.

Kambing disebut kambin, kuning disebut kunin, pening dikatakan penin dan banyak lagi.


Cuba anda bayangkan orang Terengganu berbual dengan orang Kedah menggunakan loghat atau dialek masing-masing - tentu menarik bunyinya.


Nota hujung: Apa kata pakar dialek di negara ini dari aspek etimologi dan sosiolinguistik.

Sumber: Mokcik nasi dagang...





ANEKDOT 39...

SELUAS MATA TERUJA…

Bercuti Ke Kelantan membuka mata saya, betapa menariknya nama-nama kampung sepanjang perjalanan. Nama-nama unik ini mungkin tiada apa-apa bagi penduduknya – tidak kepada saya. Bayangkan beberapa nama di Terengganu seperti:
Kg Bukit Dara, Kg Bukit Teruna, dan
Kg Paya Berenjut. Selain itu ada juga Kg Lampu , Kg Tiang, Kg Anak Ikan, dan Kg Laklok. Di Kelantan pula nama-nama seperti Kg Kubang Batang, Kg Bunohan, Kg Neting, dan banyak lagi.
Biarpun namanya begitu asing, kampung ini mempunyai keindahan yang mempesonakan mata. Sepanjang perjalanan pulang saya dihamparkan dengan keindahan pantai Melawi, Tok Bali, Setiu, Penarik dan juga Merang.
Cadangan saya kalau anda ke Kelantan, susurilah jalan pantai dari Batu Rakit hinggalah ke Tok Bali. Anda pasti terpegun. Jangan tergesa-gesa – singgahlah di mana-mana pantai atau gerai yang terdapat sepanjang pantai. Nikmati makanan asli tempatan – keropok lekor, ikan/sotong celup tepung, otak-otak dan juga sata. Pergi dan terokailah sendiri.

NOTA HUJUNG: Ini bukan iklan pelancongan Tahun Melawat Malaysia.


Lihat nama kampung yang tertera pada gambar-gambar ini.


(Pelik?)
(Anak ikan pun ada sekolah)

(anak-anak ikan yang cemerlang)


(Neting =Melenting?)

(Siapa yang berbunuhan)


(Kampung Kedai Menanti)


(ada kena mengena dengan mat lalok?)

(Banyak lagi foto nama kampung dalam simpanan. )